DUNGUN – Ibubapa sepatutnya menjadikan anak-anak mereka aset yang amat bernilai bukannya sebagai liabiliti yang menyusahkan.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun berkata mereka adalah penolong kita nanti samada di dunia dan di akhirat.
“Anggaplah mereka sebagai rakan dan bimbinglah mereka, jangan menjadikan mereka beban dan bahan untuk sumpah seranah,” katanya.
ADUN Rantau Abang itu berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Prestasi dan Graduasi Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Az Zahra, Seberang Pintasan di sini pada Rabu, 23 Februari.
Cikgu Alias turut mengingatkan, ibu bapa mestilah berhati-hati dengan setiap tutur kata dan tingkah laku kerana mereka menjadi cermin kepada anak-anak.
“Kita kena ingat sumpah seranah itu yang keluar dari mulut kita adalah doa buat mereka, jadi hati – hatilah,” ujarnya.