PENYANYI Datin Alyah tidak dapat menggambarkan bagaimana situasi sebenar program hiburan ‘tertutup’ wanita anjuran Pertubuhan Nisa’ Kelantan.
Noor Hasliah Abu Hasan yang terkenal dengan lagu ‘Sesal Separuh Nyawa’ itu mengakui tidak pernah menghadiri program nyanyian tertutup yang hanya dihadiri kaum hawa sahaja.
Beliau yang bertindak sebagai Ketua Juri berkata demikian pada program Nisa’ Talent Time di Kelantan Trade Cantre (KTC), di sini semalam.
Katanya, pada masa yang sama beliau turut terfikir, jika penonton, jurukamera dan penyanyinya hanya kaum wanita, bagaimana bahagian peralatan siaraya.
“Bila saya berada di sini baru saya faham, semua yang mengendalikan program ini terdiri dari kaum wanita.
“Bermula peserta nyanyian, petugas pentas, rakaman video, kamera dan penonton semuanya adalah kaum wanita,” ujarnya.
Katanya, perkembangan itu begitu mengujakannya.
“Saya akan menceritakan pengalaman ini di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Datin Alyah adalah isteri kepada ahli muzik terkenal, Datuk Ramli MS.
Seramai 35 orang peserta mencuba nasib bagaimanapun hanya 12 orang layak ke peringkat akhir, seorang daripadanya bermain piano.
Pada pertandingan itu, hadiah wang tunai RM700 menjadi milik Afiqah Atikah Abdul Halim setelah mendapat tempat pertama.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi Nik Farah Aina Hariman dan Adeela Rahayu Roslan masing-masing memperolehi RM500 dan RM200.
Pada malamnya artis Nora Arifin dan Rosemaria Abdul Hamid memeriahkan acara Malam Kesenian Wanita Kelantan..– HARAKAHDAILY 19/11/2017