Home Artikel PAS Melaka

Al Haziq Frozen ke Kemaman bantu mangsa banjir

549
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 16 Jan : Al Haziq Frozen, sebuah syarikat perniagaan berasaskan barangan sejuk beku keluaran Muslim, turun ke Kemaman Terengganu dalam misi membantu mangsa banjir di sana.

Turut bersama dalam misi bantuan ini ialah beberapa rakan niaga lain antaranya HMZ Power Engineering Sdn Bhd, Circulate Engineering Sdn Bhd, Akram Construction dan beberapa syarikat lagi.

Rombongan ini bertolak dari Melaka semalam dan berkumpul di Kuala Lumpur dahulu sebelum bertolak ke Terengganu sebelah malamnya.

Antara barangan sumbangan yang dibawa termasuklah barang makanan asas, pakaian terpakai, selimut, berus, sabun pencuci dan barang-barang keperluan lain.

Menurut Pengurus Al Haziq Frozen Hasbullah Halil, misi bantuan ini adalah inisiatif bersama dengan rakan-rakan niaga beliau yang lain.

“Kita berharap dengan bantuan yang kita buat ini dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir di sana.

“Dan kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih pada mereka yang memberi sumbangan” ujar beliau yang juga Naib Ketua Cawangan PAS Sungai Tuang, Kawasan Masjid Tanah.

Sementara itu seorang kakitangan Al Haziq Frozen, Irham Najmi, 18, yang terlibat dengan misi ini melahirkan rasa teruja bersama dengan misi bantuan ini.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai misi seperti ini dan saya akan buat yang terbaik. Insya-Allah!” ujar beliau bersemangat.

Misi bantuan ini melibatkan sebuah lori tiga tan dan empat buah kenderaan Toyota Hilux dan dijadualkan akan terus ke Kampung Teladas Air Putih Kamanan Terengganu yang teruk dilanda banjir di sana.