Home Berita PAS Melaka

Akan usahakan lagi bantuan untuk Ustaz Mohd Safar – Ustaz Imran

180
SHARE

Oleh: ZUL SHAM MAHAT

MASJID TANAH, 12 Jul: Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berjanji untuk mengusahakan lagi bantuan untuk seorang kontraktor kecil dari Sabah, Ustaz Mohd Safar Ahmad Puteh, 41, yang menghadapi kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

“Kita akan pastikan Ustaz Mohd Safar serta dua keluarga yang lain akan mendapat bantuan bakul makanan peruntukan daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan segera kepada Ustaz Mohd Safar di rumah sewanya di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Ustaz Mohd Safar yang juga merupakan ahli PAS seumur hidup berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan dan merupakan seorang kontraktor kecil yang mengambil kontrak membina rumah begitu terkesan dengan keadaan sekarang kerana beliau terpaksa menangguhkan sementara projek yang sedang dalam pembinaan atas arahan kerajaan.

Beliau yang tinggal menyewa bersama dua ahli keluarga beliau yang lain iaitu Anan Rajina, 47 dan Mohd Jaidi Saidin, 17, sangat terdesak apabila sewa bulanan, bil elektrik dan air turut tertunggak.

Ustaz Mohd Safar ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) berkata dalam soal makan minum beliau masih boleh bertahan dengan bercucuk tanam sendiri.

“Tapi untuk sewa rumah, bil elektrik, air memang saya buntu. Sebab kita tidak boleh bekerja kerana arahan untuk berhenti sementara (kerja pembinaan). Itu yang saya terus hubungi YADIM untuk minta bantuan,” ujar beliau.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Abu Naufal Shamsudin yang hadir bersama pula menjelaskan bahawa pihak Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) akan berusaha untuk membereskan sewa bulanan beliau.

Turut menghulurkan bantuan segera dalam ziarah ringkas itu ialah Pengarah JPRD PAS Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul dan wakil NGO Si Peduli, Hasbullah Mohd Halil.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung beliau boleh menghubungi beliau di talian 011-23885785 atau menyalurkan terus sumbangan menerusi akaun simpanan beliau seperti berikut :

Maybank a/k no. 160102516397