Home Berita PAS Pusat

Ajinomoto Dalam Dakwah

604
SHARE

AJINOMOTO DALAM DAKWAH

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 11
16 Zul Qaedah 1440 | 19 Julai 2019

Jangan Tambah Ajinomoto Dalam Dakwah.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
https://m.facebook.com/naskhahdakwah
https://t.me/Naskhahdakwah


1. Dakwah adalah satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia. Demi memastikan risalah Islam itu benar-benar sampai ke lubuk sanubari umat manusia ia memerlukan kaedah penyampaian yang bijak (hikmah).

2. Sementara untuk memastikan apa yang sampai kepada mereka itu benar-benar risalah Islam dan difahami dengan baik, memerlukan bahan yang betul (sohih) dan sesuai.

3. Kegagalan membawa atau menghantar bahan yang betul dan sesuai kepada madu’u (sasaran dakwah) meskipun telah melalui kaedah penyampaian yang baik, tidak akan menghasilkan natijah yang dikehendaki.

4. Justeru natijah dakwah Islamiah ini bukan sahaja risalah itu sampai kepada madu’u tetapi juga mestilah difahami dengan baik dan betul kefahamannya. (Kefahamannya tidak akan betul jika bahan yang sampai itu salah dan tidak sesuai)

5. Sebagai contoh, jika pendakwah itu mampu memiliki kaedah penyampaian yang baik, ribuan orang meminatinya. Tetapi, kandungan bahan dakwahnya:

50 % humor,
20 % kata-kata bombastik,
10 % maklumat am,
10 % kisah ragam manusia

dan akhirnya hanya tinggal 10 % untuk ilmu Islam yang merujuk kepada nas syara’ dan fakta feqh Islami. Maka pendakwah sebegini tidak akan berjaya mencetuskan kefahaman yang baik kepada madu’u.

6. Jauh lebih berisiko apabila seseorang itu gigih menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat tetapi sering menghantar maklumat yang salah atau bahan yang diragui kebenarannya. Suka menambah “ajinomoto” dalam pengkisahan semata-mata untuk sedap didengar oleh orang ramai.

7. Nabi S.A.W. bersabda melalui riwayat Mu’awiyah bin Jaydah Al Qushayri :

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya : Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.

Riwayat Abu Daud.

8. Antara bahan yang diperlukan dalam dakwah Islamiah ini ialah:

? Ilmu Islam yang betul.

Pendakwah selayaknya menuntut ilmu untuk mendapat bekalan ilmu yang betul dan mencukupi dalam menjalankan misi dakwah. Ilmu ini pula mestilah merangkumi perkara asas seperti fardhu ain dan perkara am seperti bab kepimpinan, saikologi dan lainnya.

? Pengalaman yang luas.

Pengalaman adalah ilmu yang tiada di dalam kitab. Ia dipelajari melalui banyak penglibatan di arena dakwah. Ia membantu untuk seorang pendakwah menilai kesesuaian pendekatan yang akan digunakan dalam berdakwah dan juga kesesuaian bahan yang akan dihantar kepada madu’u.

? Kreativiti.

Kreativiti ini pula sangat penting untuk menghasilkan kebijaksanaan (hikmah) dalam gerakan dakwah. Memahami keperluan, menyedari kesesuaian, mempunyai kepelbagaian skil dan teknik dakwah semasa.

Islam Memimpin Perpaduan

Sekian.