Home Berita PAS Kedah

Ahli Parlimen Jerai iring Takiyuddin Hassan tinjau lokasi tragedi

169
SHARE

YAN : Ahli Parlimen Jerai YB Ustaz Sabri Azit bersama YB Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli hari ini mengadakan lawatan kerja ke Gunung Jerai yang diaturkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Lawatan ini bertujuan meninjau kesan kerosakan di lokasi bencana tanah runtuh dan aliran puing (bongkah batuan, lumpur, dan sisa pokok) di sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar yang berlaku pada 18 Ogos lalu.


YB Menteri telah diberi taklimat oleh JMG mengenai kerja-kerja yang dilaksanakan di kawasan kejadian bencana.

Taklimat tersebut turut menyentuh mengenai penemuan terbaharu 69 lokasi bencana tanah runtuh dan lima lokasi punca aliran puing dikenal pasti di seluruh kawasan Gunun Jerai terutamanya di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Bagi perancangan jangka panjang Kementerian Tenaga Sumber Asli mencadangkan agar dibangunkan satu sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai demi keselamatan pengunjung.

Sebagai makluman, Kawasan Hutan Simpanan Kekal Gunung Jerai telah diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan bagi maksud kawasan tadahan air. Hutan simpanan kekal ini menjadi sumber air mentah yang dirawat oleh Syarikat Air Darul Aman untuk dibekalkam kepada penduduk sekitar Yan.

Hutan Simpanan Kekal ini tidak dibenarkan untuk dijalankan aktiviti pembalakan. Hutan simpanan kekal Gunung Jerai adalah termasuk dalam kawasan pembangunan geopark jerai yang telah dimasyurkan sebagai geopark kebangsaan pada 24 November 2018 sempena istiadat pertabalan Sultan Kedah ke 29.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim, Pegawai Daerah Yan YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Tuan Haji Hisamuddin Termidi, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk IR Baharin Bin Din.

Sumber : Laman Facebook Ustaz Sabri Azit Ahli Parlimen Jerai