Home Berita PAS Kedah

Ahli Parlimen Dan Polis Sik Kempen SOP, Daftar Vaksinasi

216
SHARE

SIK – Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sik (PUSRASIK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik telah mengadakan kempen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokasi, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bersama Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abdul Razak Othman mengetuai inisiatif ini selain menyemarakkan kempen daftar suntikan vaksinasi dalam kalangan penduduk.

Usaha penerangan dan kesedaran ini telah diiringi tiga unit kereta peronda polis dan kenderaan PUSRASIK bersama 10 anggota polis dan para petugas Ahli Parlimen ke Pekan Sik, Chepir, Teloi Timur dan Jeneri.

Ahmad Tarmizi dalam ucapannya menyampaikan penghargaan atas kerjasama pihak IPD Sik dalam menjayakan kempen tersebut bagi memastikan kemenangan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 akan berjaya.

“Terima kasih diucapkan kepada penduduk Sik yang memberi kerjasama yang cukup baik semasa kempen ini dilaksanakan. Marilah sama-sama kita mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Juga mari mendaftar serta hadir untuk menerima suntikan vaksinasi sebagai ikhtiar dalam usaha untuk mencegah penularan COVID-19.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada IPD Sik kerana memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan kempen ini dalam usaha untuk membina imuniti kelompok,” katanya.