Home Berita PAS Melaka

Agro Amal JAM Tangga Batu – sambung legasi YDP lepas – Bakri 

79
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU, 1 Sept: Projek Agro Amal bagi mengembangkan cabang dan bahagian perekonomian anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Tangga Batu adalah sebagai menyambung legasi mantan Yang Dipertua (YDP) PAS kawasan ini, Ustaz Md Noor Omar.

“Menunaikan amanah daripada mantan YDP PAS Tangga Batu, Al Fadhil Ustaz Md Noor Omar kepada saya sewaktu serah terima jawatan pada tahun 2019 yang lalu agar memerhatikan perekonomian anggota Jabatan Amal Malaysia PAS Tangga Batu.

“Alhamdulillah amanat Ustaz Md Noor kami laksanakan. Mohon doa daripada ahli PAS semua.”

Demikian dinyatakan YDP PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin ketika menyerahkan anak-anak itik kepada Setiausaha JAM Tangga Batu, Mohd Jaiz Maasat di sebidang tanah yang dijadikan tapak projek, di Jalan Ah Peng, Sungai Udang, di sini, semalam.

Atas matlamat itu, menurut beliau, PAS kawasan dan JAM Tangga Batu mengorak selangkah lagi dengan melancarkan usaha Agro Amal.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan terhadap usaha ini.

“Diharapkan usaha ini akan mendapatkan sambutan daripada masyarakat setempat dan berkembang menjadi peluang pekerjaan kepada anak muda setempat,” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka, berkata demikian kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika menyerahkan sedikit sumbangan untuk meneruskan usaha yang telah dijalankan secara berfasa.

Sementara itu, Komandan Jabatan Amal Kawasan Tangga Batu, Umar Taib pula berkata, usaha memanfaatkan sebidang tanah tersebut sudah bermula dengan tanaman dan ternakan seperti ubi, bendi, itik dan ayam kampung.

“Meskipun usaha baru bermula, namun saya opmitis bahawa projek ini akan berkembang dan mensasarkan sebanyak 1,000 ekor itik dalam masa terdekat. Antara hasil yang akan dijual ialah telur itik, telur asin dan daging itik siap diproses.

“Selari dengan moto Jabatan Amal Malaysia iaitu ‘Beramal Kerana Allah’, ia bukan sekadar moto biasa, ia adalah manifestasi kepada niat semua ahli Jabatan Amal Malaysia,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sebahagian hasil yang diperolehi akan disumbangkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.