Home Berita PAS Kelantan

Agong santuni khidmat Sukarelawan SOKMO

207
SHARE

SHAH ALAM, 27 Dis: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni dan menzahirkan rasa terima kasih kepada 50 sukarelawan banjir dari Persatuan Keturunan India Kelantan Semalaysia (SOKMO).

Ucapan tersebut dirakamkan oleh Seri Paduka kepada Pengerusi SOKMO, Doraraj a/l Nagan semasa mengadakan lawatan di Taman Sri Muda serta kawasan di sekitarnya yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Menurut Doraraj ketika dihubungi, ucapan oleh Seri Paduka itu telah mengembalikan semangat kepada sukarelawan SOKMO yang berkhidmat selama enam hari, bermula pada 19 Disember lalu dengan membantu mangsa banjir memindahkan barang dan membawa mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ke rumah saudara yang berdekatan. Manakala operasi membersih rumah pula telah bermula pada Khamis, 23 Disember apabila air mulai surut di beberapa kawasan.

“Kami bantu semua mangsa banjir tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Rumah orang Melayu, Cina semua kami tolong bersihkan, masjid pun kami bersihkan juga.”
“Setakat ini kami telah memperuntukkan dana lebih kurang RM50,000 untuk memberi bantuan makanan dan wang tunai RM500 kepada 60 keluarga mangsa banjir yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut turun padang memberi khidmat tenaga dan semangat dalam menjayakan misi bantuan kemanusiaan pasca banjir.