Tebrau, 7 Jun 2017: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah pepatah melayu yang dapat dikaitkan semasa siri-siri ziarah kebajikan oleh Adun Puteri Wangsa (N 41), YB Ustaz Abdullah bin Husin, ke Hospital Sultan Ismail (HSI), berdekatan Taman Mount Austin di Johor Bahru, di sini.
Menjadi kelaziman buat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Puteri Wangsa (N 41) bersama-sama Lajnah Kebajikan dan Masyarakat PAS Tebrau mendekati dan menyantuni pesakit-pesakit di hospital berkenaan; yang mana, hampir setiap minggu jadual ziarah telah/akan diaturkan. Rata-rata yang diziarahi adalah termasuk daripada kalangan pengundi Parlimen Tebrau sendiri, ahli PAS Tebrau serta ahli keluarga mereka sendiri.
Namun, tidak kurang juga dengan makluman yang diberikan oleh orang perseorangan kepada wakil PAS atau melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Puteri Wangsa sendiri. Turut bersama dalam siri-siri ziarah kebajikan adalah wakil-wakil daripada Urusan Ulama’ PAS Tebrau, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Tebrau.
Kunjungan Adun N 41 itu yang juga merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Johor tidak lupa diselitkan dengan bacaan-bacaan doa ringkas sebagai usaha dan ikhtiar untuk memohon keafiatan dari Allah terhadap orang perseorangan yang dikunjungi beliau.
Diharap, siri-siri kunjungan seumpama ini dapat menggembirakan dan menceriakan para pesakit dalam menempuhi hari-hari mendatang dengan sabar dan tabah. Setinggi-tinggi penghargaan juga buat warga HSI atas khidmat terbaik yang diberikan kepada setiap pesakit.
{jathumbnailoff}