Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
PENGKALAN KUBOR, 13 Jun: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Ketil bermula 11 hingga 24 Jun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat meninjau persiapan pelaksanaan PKPD di kampung tersebut baru-baru ini dan mengingatkan orang ramai agar tabah menghadapi ujian berdepan dengan PKPD yang lebih mencabar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita harap rakyat di kawasan terlibat bersabar dan perbanyakkan istighfar. Tingkatkan disiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan melaksanakan PKP kendiri, insha Allah kita sama-sama doakan ujian ini segera berlalu”, katanya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang komited menjalankan khidmat sebagai petugas barisan hadapan demi kesejahteraan rakyat.