Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
PASIR TUMBOH, 18 Jul: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, YB Ustaz Abdul Rahman Yunus bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Khidmat DUN Pasir Tumboh, penghulu mukim, muslimat dan pemuda turun padang menyantuni penduduk dan menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semalam.
Agihan bantuan berupa barangan makanan asas adalah peruntukan kepada program Jejak Amal Covid Komuniti (JACK) kendalian Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKKWa) berjumlah RM10,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut serta dalam membantu golongan yang terkesan.