PASIR PUTEH, 13 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim memuji keprihatinan golongan profesional yang aktif menganjurkan program kemasyarakatan bersama para pelajar di seluruh Kelantan.
Beliau menghargai khidmat bakti Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA), dan Majlis Dakwah Negara (MDN) cawangan Kelantan serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang menyumbangkan RM400 secara sekali beri kepada sepuluh pelajar daif mewakili Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu, Semerak. Pelajar tersebut juga akan menerima RM50 setiap bulan sehingga tingkatan lima yang dibiayai ahli PUSPA.
“Usaha murni PUSPA, MDN dan KADA amatlah dihargai dan inilah bukti para profesional Kelantan bukan sahaja memiliki ilmu yang tinggi bahkan sangat tinggi juga budinya. Kita berharap ramai lagi golongan profesional yang sudi turun padang menggembleng usaha membantu rakyat bersama pemimpin negeri”, katanya ketika merasmikan majlis di Muara Chalet Tok Bali, Rabu lalu.
Turut hadir, Presiden PUSPA, Prof Dr Azizah Hamzah, Yang dipertua MDN Kelantan, Dato’ Halim Hamat, Pengerusi KADA Dato’ Kamarudin Mohd Nor dan Penggawa Semerak, Dr Mustafa Ahmad.