Home Berita PAS Johor

ADUN Maharani galas tugas pertama sebagai wakil rakyat

268
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

JOHOR BAHRU, 20 Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abd Aziz Talib telah menggalas tugas pertama sebagai wakil rakyat. Beliau hadir di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung bermula 16 Jun sehingga 26 Jun ini.

Abd Aziz yang merupakan wakil tunggal dari PAS dalam sidang DUN ini setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Johor bagi DUN Maharani yang diadakan pada 12 Mac lalu.

Persidangan Penggal Pertama bagi Dewan Negeri Johor kali ke-15 telah dirasmikan oleh baginda Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam sesi perbahasan titah baginda Sultan, Abd Aziz telah menyambut baik titah baginda yang meletakkan integriti sebagai batu asas kepimpinan yang berteladan.

“Kita sangat meletakkan kepimpinan membawa teladan, amanah, tanggungjawab serta keperihatinan rakyat perlu diutamakan. Ketua kampung, Ahli Majlis, imam masjid dan ketua komuniti masyarakat seharusnya memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan”, ujar beliau.

Abd Aziz juga menyambut baik cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu negeri Johor yang ditetapkan sebelum ini pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Isu penyelarasan cuti telah lama disuarakan oleh penduduk di Johor kerana cuti hujung minggu yang berbeza untuk pihak kerajaan dan pihak swasta sehingga menyebabkan kesukaran ibu bapa untuk memperuntukkan masa bersama anak-anak khususnya bagi ibu bapa yang bekerja dalam sektor swasta.

“Johor telah kembali bercuti pada hari Jumaat selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor pada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa pada 1 Januari 2014 ketika majlis sambutan Hari Keputeraan Ke-55 di Dewan Jubli Intan, Muar.

Tujuannya adalah untuk memudahkan dan memberi ruang kepada masyarakat yang beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat.

“Adalah diharapkan agar cuti di Johor dikekalkan pada hari Jumaat dan Sabtu dengan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya cuti pihak swasta juga diselaraskan ke hari Jumaat dan Sabtu seperti yang dilaksanakan di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah,” jelas beliau lagi.

Beliau yakin, Menteri Besar Johor mampu untuk melaksanakan penyelarasan itu dengan sebaiknya khususnya dengan mengambil kira titah Sultan Johor ketika hendak melaksanakan cuti hari Jumaat dan Sabtu suatu ketika dahulu.

Pada mesyuarat kedua (20 Jun) penggal pertama persidangan pertama ini, YB ADUN Maharani juga mengemukakan soalan berkenaan kadar elaun bagi imam/bilal di masjid dan surau Negeri Johor, adakah kenaikan kadar elaun mereka selaras dengan had gaji mininum yang telah dilaksanakan berjumlah RM1500.