PASIR PUTEH, 21 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, YB Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah hadir membuat tinjauan pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja (SKKR) pada hari pertama sesi persekolahan 2022 di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati rata-rata pelajar amat teruja hadir ke sekolah, serta disambut dengan kehadiran maskot comel bagi menarik semangat pelajar untuk memulakan proses pembelajaran secara bersemuka yang bermula hari ini, selain dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang baharu.
Sementara itu, pihak sekolah juga masih menekankan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kepada ibu bapa dan pelajar seperti penjarakan fizikal dan penggunaan cecair sanitasi untuk membersihkan tangan sebelum memasuki kelas bagi mengekang penularan penyakit COVID-19 di sekolah.
Terdahulu, menurut kenyataan Menteri Pendidikan berkaitan pengeporasian semula sekolah bagi sesi 2022/2023 baru-baru ini, pelajar sekolah rendah yang jumlahnya melebihi 600 orang akan hadir ke sekolah secara bergilir, manakala bagi jumlah pelajar yang kurang daripada itu dikehendaki hadir ke sekolah secara bersemuka bagi proses pengajaran dan pembelajaran (pnp).