Home Berita PAS Kedah

ADUN Kupang turut mengajak penduduk baling dapatkan suntikan vaksin

561
SHARE

KUPANG, 8 Jun : Jumlah penduduk yang mendaftar bagi suntikan vaksin di Dun Kupang masih di tahap kurang memuaskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad, berkata, tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan penduduk antara faktor mereka takut dan bimbang untuk berbuat demikian.

Menurutnya, situasi itu bakal membantutkan usaha kerajaan mengawal dan mencegah penularan wabak Covid-19.

“Saya difahamkan oleh pihak berautotiti, jumlah penduduk yang mendaftar untuk vaksin masih rendah. Jadi saya menyeru penduduk dalam DUN Kupang untuk sama-sama mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin.

“Kita ialah penentu kepada kalah atau menang negara mencegah wabak itu. Semakin ramai divaksin, insha Allah lebih cepat tahap imunisasi berkelompok dapat dibentuk,” katanya kepada media PAS Baling hari ini.

Tambahnya, penduduk tidak sewajarnya berasa bimbang untuk menerima vaksin memandangkan ia telah dibuktikan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke -10 yang bersidang tahun lalu.

“Saya juga telah selesai terima dua dos. Alhamdulillah sihat dan tiada kesan sampingan.

“Jika betul vaksin ini tidak selamat, saya sendiri tak mahu menerima suntikan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) yang dibuka kali pertama di Dewan Majlis Daerah Baling di Kupang.

Kehadirannya bersama Penolong Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Ustaz Hassan Saad dan Setiausaha PKWR DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar disambut oleh para doktor dan kakitangan yang bertugas di dewan tersebut.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kerusi roda, kerusi malas dan pelbagai peralatan yang diperlukan oleh kakitangan KKM.