Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Nenek berumur 101 tahun antara 4 mangsa kematian terbaru

347
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 8 Jun : Seorang nenek berumur 101 tahun adalah salah seorang daripada empat mangsa kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa tersebut yang berasal dari Mukim Bukit Katil dalam Daerah Melaka Tengah mempunyai sejarah penyakit lumpuh dan mula bergejala pada 28 Mei lepas sebelum disahkan positif Covid-19 pada 5 Jun.

Tiga lagi mangsa lain juga kesemuanya warga emas iaitu seorang lelaki berusia 71 tahun juga dari Mukim Bukit Katil sementara dua orang lagi dari Mukim Bukit Rambai iaitu seorang lelaki berumur 76 tahun dan seorang wanita berumur 70 tahun.

Kes jangkitan baharu.

Tambah laporan itu lagi sebanyak 314 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 310 kes adalah daripada kategori tempatan sementara empat kes lagi adalah daripada kategori import.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 136 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 149 kes di Daerah Jasin dan 29 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 202 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2086 kes masih dirawat dengan 50 kes adalah daripada kes ICU dan 20 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Menurut JKNM terdapat pertambahan kes daripada 29 kluster sedia ada iaitu 26 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; 107 kes Kluster Batu 16 Bemban; tiga kes Kluster Jalan Usaha Tujuh; empat kes Kluster Jalan Tanjung Minyak; tiga kes bagi Kluster Terendak Permai; satu kes daripada Kluster Batu Lapan Bukit Rambai; lima kes dari Kluster Industri Pengkalan Balak dan dua kes daripada Kluster Jalan Semabok

Selain itu terdapat satu kluster tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Serkam dengan 18 kes positif keseluruhan direkodkan oleh kluster ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5566 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih tinggi daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri juga lebih tinggi daripada semalam iaitu sebanyak 1524 kes diikuti oleh Negeri Sarawak yang mencatatkan 707 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 76 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 627,652 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.