Home Berita PAS Kedah

ADUN Kupang dan Bayu tinjau operasi bantuan rakyat

228
SHARE

Baling – ADUN Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Najmi Ahmad dan ADUN Bayu, Abd Nasir Idris sentiasa memastikan kebajikan penduduk terbela.

Lebih-lebih lagi ketika negara berada dalam tempoh sukar akibat penularan wabak COVID-19 yang memaksa Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan.

Untuk pastikan tiada keluarga tercicir, mereka telah turun padang meninjau Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Baling, semalam.

Dato’ Najmi berkata, hasil tinjauan mendapati pengurusan PKOB berjalan lancar dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terputus bekalan makanan.

Menurutnya, tiga Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di Baling turut beroperasi sepanjang SPP ini bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi sebaiknya.

“Pihak PKWR akan mengagihkan bantuan kepada penduduk selepas menerima maklumat lengkap daripada PKOB.

“Usaha ini dapat mempercepatkan bantuan kepada siapa sahaja yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, dua pemimpin berkenaan diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Operasi Bahagian Keselamatan Pejabat Daerah, Adil Mohamad tentang perjalanan dan susun atur bekalan kepada penduduk.

Dalam tinjauan itu, mereka turut menyumbang peralatan menyimpan barangan bantuan kepada PKOB Baling.