Sekali Serban Dililit. Siri 81
08 Safar 1439 / 28 Okt 2017
BAJET 2018 : PERLAKSANAAN MESTI BENAR, TELUS & BERHEMAH
Oleh : Nasrudin bin Hassan
1. Sememangnya tanggungjawab sebuah kerajaan menyediakan bajet untuk negara. Bajet adalah anggaran perbelanjaan negara yang mesti dikemukakan oleh kerajaan yang memerintah. Agihan dan perbelanjaan mestilah dilakukan secara seimbang dan berhemah.
2. Bukanlah perkara yang luar biasa pelbagai insentif atau peruntukan demi peruntukan diumumkan oleh kerajaan melalui Bajet 2018 ini selama mana ia kembali kepada rakyat. Malah itulah sewajibnya dilakukan. Tambahan pula diperakui secara tidak langsung oleh YAB Perdana Menteri bahawa bajet ini untuk mendepani pilihanraya yang bakal menjelma.
3. Namapun kerajaan, tanpa agihan dan peruntukan tersebut, bagaimanalah sebuah kerajaan itu mahu membangun-makmurkan negara. Cuma malang jika bajet itu hanya bersifat gali lubang di sana dan tutup lubang di sini. Beri di sini, minta di sana. Bagi hari ini, kutip hari esok. Akhirnya Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
4. Persoalan besar juga yang sering menjadi hambatan kepada kita, negara dan seluruh rakyat ialah bagaimana perlaksanaannya ? Bagaimana kerajaan melunaskan jumlah angka yang telah diumumkan melalui pembentangan bajet agar ia sampai kepada sasaran dan mencapai objektif.
5. Justeru, saban tahun Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai bentuk rupa ketirisan, kerugian, pembaziran, perbelanjaan yang tidak bijak dan sebagainya. Belum lagi kita menghitung laporan dari SPRM. Ada sahaja kes penyalahgunaan dana, rasuah dan sebagainya melibatkan pemimpin negara, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan.
6. Situasi ini belum ada sudahnya malah semakin menjadi-jadi. Negara kita masih cedera parah dan belum sembuh sehingga ke saat ini. Akhirnya, Bajet yang dibentang hanya indah dihari pembentangan. Gegak disebalik sorak sorai aneka slogan. Senyum lebar rakyat setelah mendengar pelbagai angka yang bakal dinikmati hanya bertahan seketika, kemudian kembali bermuramdurja bagai menanti bulan jatuh ke riba.
7. Saya bukan bersikap prejudis terhadap bajet yang dibentang, tetapi dalam masa yang sama, bajet juga janganlah sekadar menjadi alunan muzik klasik untuk menghibur dan mendodoi pendengar sahaja, tetapi tidak pernah memberi nilai kepuasan yang sebenar dan kekal lama.
8. Insyaallah, kami akan mengambil bahagian secara aktif, kritis dan konstruktif dalam perbahasan bajet sepanjang sidang parlimen kali ini. Untuk menilai secara terperinci mengikut sektor-sektornya. Pasti sahaja nanti ia terbuka kepada pro dan kontra.
9. Sikap kita mudah, yang baik untuk negara dan rakyat kita sokong. Sementara yang tidak memulangkan manafaat kepada negara dan rakyat, kita bantah, kritik dan tegur kerajaan melalui perbahasan di parlimen kelak.
10. Seperti biasa, terlebih dahulu kita akan mendengar pandangan dan berbincang dengan pakar-pakar ekonomi untuk melihat secara lebih mendalam mengenai bajet 2018 sebelum kami menentukan sikap.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.