Home Sekali Serban Dililit

Tak Yakin Kajian Sendiri

1,319 views
SHARE

Sekali Serban Dililit. 91
25 Jamadil Akhir 1439 / 13 Mac 2018

TAK YAKIN KAJIAN SENDIRI

Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://m.facebook.com/serbandililit

1. Mereka bertubi-tubi buat kajian mengenai prestasi PAS. Minat mereka untuk mengetahui perjalanan PAS sangat luar biasa. Masing-masing buat ramalan pengakhiran PAS. Kononnya bersandarkan sebuah kajian dilapangan.

2. Akhirnya mereka muktamadkan hasil kajian mereka bahawa PAS bakal kalah dalam PRU ke 14 kelak. Bahkan tiada satu kerusi pun akan dimenangi oleh PAS.

3. Sebelum ini sebahagian mereka menyebut bahawa lebih dari separuh ahli PAS telah meninggalkan PAS. Kononnya menurut kajian mereka bahawa PAS akan dipinggirkan dalam arus perdana politik tanahair apabila memilih tidak bersama Pakatan Harapan.

4. Tidak kurang juga terdapat ahli nujum mereka yang menilik bahawa PAS akan menyertai BN. Justeru itu mereka menyifatkan bahawa rakyat telah menolak PAS dan kini PAS kian lusuh dari persada politik negara.

5. Setelah kajian demi kajian memutuskan bahawa PAS kalah teruk dalam PRU ke 14, setelah ramalan demi ramalan memuktamadkan bahawa PAS terpinggir jauh dari arus perdana politik tanahair, setelah tilikan demi tilikan merumuskan bahawa PAS kehilangan penyokong yang sangat ketara, mereka tetap memilih untuk terus menyerang PAS bertali arus.

6. Mereka lancarkan serangan saikologi tanpa henti. Fitnah terus diratib. Cybertrooper mereka digerakkan 24 jam. Mereka sasarkan PAS tanpa syak. Mereka mahu hancurkan benteng dan dinding perjuangan PAS.

7. Amukan mereka makin menggila. Sekali lihat bagai lembu menendang saka detik kematiannya. Tiada apa yang mereka peduli lagi. PAS nombor satu dalam senarai sasaran mereka.

8. Ternyata mereka tidak yakin dengan kajian mereka sendiri. Andai kajian mereka benar bahawa PAS kini zero kerusi dan tiada lagi penyokong, kenapa mereka tidak berhenti menyerang PAS ? atau menyerang PAS tanpa henti ?

9. Jelas mereka tidak boleh menipu diri mereka sendiri. Kajian mereka sendiri tidak meyakinkan mereka. Ramalan mereka sendiri pun mereka tidak pakai. Apatah lagi tilikan mereka.

10. Mereka tahu PAS punyai kekuatan sendiri. Mereka sedar PAS tidak mudah dikalahkan begitu sahaja. Mereka yakin prestasi dan reputasi PAS jauh lebih baik berbanding parti-parti mereka.

11. Justeru itu, tiada pilihan bagi mereka selain menyerang tanpa henti untuk melemahkan dan merosakkan imej PAS. Harapan mereka, dalam 1000 orang yang membaca berita propaganda mereka, terdapat 10 orang yang percaya, itu pun sudah memadai.

Namun PAS tetap utuh.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian