Home Timbalan Presiden PAS

Bajet 2018: Apa khabar Wawasan 2020?

995 views
SHARE

Bajet 2018 memperlihatkan peruntukan bagi perbelanjaan operasi meningkat ke RM234.3 bilion, daripada RM214.8 bilion di 2017, iaitu penambahan perbelanjaan sebanyak 9%. 

Ini setara dengan jangkaan peningkatan hasil negara di 2018 di mana ia dianggarkan meningkat 9% daripada RM219.7 bilion di 2017 ke RM239.9 bilion pada 2018.

Ini menyebabkan negara tidak berupaya menambah peruntukan untuk pembangunan di mana ia hanya kekal pada kadar RM46 bilion. Sekiranya semua anggaran hasil negara di 2018 sebanyak RM239.9 bilion digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan operasi sebanyak RM234.3 bilion, ini bermakna 88% kos pembangunan  (RM40.4 bilion ) perlu ditampung melalui pinjaman. 

Dengan peruntukan hanya 16% untuk pembangunan, maka hasrat mencapai status negara maju yang digaris dalam Wawasan 2020 akan hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dengan komitmen kos operasi setinggi ini,  jika BN menang di PRU14, kadar GST dijangka akan terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana untuk pembangunan. 

Jumlah peruntukan BR1M kekal

Bajet 2017 yang bertemakan “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh” nampaknya gagal apabila jumlah BR1M yang diperuntukan pada kadar yang sama.

Ini bermakna jumlah rakyat yang masih memerlukan bantuan kekal sama, dan cara pengurusan BN tidak berjaya mensejahterakan rakyat. Sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan mereka bertambah.

Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Pengurangan cukai berpendapatan individu pemastautin untuk 2.3 juta pembayar cukai terutamanya bagi golongan M40 atau lebih tepat pendapatan isi rumah di bawah RM9 ribu sebulan adalah pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa polisi ekonomi kini bukan sahaja menyempitkan kewangan golongan berpendapatan rendah malah kini ia menyebabkan golongan pertengahan juga bergelut dengan kenaikan kos kehidupan. 

Golongan pertengahan ini terpaksa dibantu agar mereka boleh meningkatkan pendapatan boleh guna melalui pengurangan cukai ini.

Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN dilanjutkan

PAS menyambut baik tawaran ini, bahkan ianya satu pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa ramai graduan yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan hutang PTPTN. 

Apakah ia kerana sikap ataupun sebenarnya ia disebabkan kurangnya peluang pekerjaan untuk para graduan ataupun kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan para graduan tidak mempunyai lebihan duit untuk melakukan pembayaran balik semula PTPTN?

Kerajaan juga  perlunya meneroka sumber baru bagi menjana  pendapatan negara. Bajet kali ini masih terikat dengan sumber tradisi. 

Penerokaan kepada cukai ke atas simpanan syarikat dan koperat (taxation on deposit), cukai perdagangan keuntungan saham di Bursa Malaysia (tax on share trading gain), sebagaimana yang dikemukakan oleh PAS dalam Dokumen Hijau serta kawalan kos melalui strategi mensifarkan ketirisan, rasuah dan pembaziran. Ini termasuk menyemak kembali agensi yang bertindan tugas dan fungsi. 

Penghapusan tol

Tindakan menghapuskan tol di empat lokasi adalah tindakan yang wajar, namun beberapa tol yang terlalu lama seperti tol Gombak dan  Karak juga perlu dihapuskan.

Sebagaimana yang diumum bahawa bajet kali ini ialah tawaran kerajaan bagi menghadapi PRU ke 14. PAS khuatir ianya hanyalah ‘umpan’ yang akan menambah bebanan rakyat sekiranya BN terus kekal memerintah. 

Insha-Allah semua Ahli Parlimen PAS akan mengambil bahagian secara aktif dalam membahas bajet ini agar ia benar-benar memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
28 Oktober 2017