LEBIH 200 petugas Khidmat Malaysia dari seluruh negara berhimpun di Pantai Sri Tujoh, Tumpat bagi mengadakan persiapan menghadapi kemungkinan berlaku bencana.
Program dua hari itu disertai Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat, Ameerah, Kelab Kembara 4×4, Nusaibah dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob malam kelmarin.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Datuk Ir Iskandar Abdul Samad berkata, badan itu perlu melangkah jauh ke hadapan bagi menjadikan peranannya lebih berkesan dalam usaha membantu rakyat.
“Kita hanya mahu petugas terlatih dalam operasi menyelamat bukan hanya minat semata-mata dan berperanan sebagai pelatih apabila pulang ke kawasan masing-masing,” katanya pada program tersebut.
Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengarah Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (Hebat 2.0), Dr Izani Husin dan anggota Exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi.
Kursus dua hari diisi dengan pelbagai modul antaranya SOP Pengurusan Bencana Khidmat Malaysia, perubatan kecemasan, operasi menyelamat dalam air, komunikasi dan pengurusan psikologi mangsa bencana.
HEBAT 2.0 di Tumpat turut membina dua telaga tiub untuk kegunaan penduduk Kampung Simpangan dan Kampung Bendang Pa’yong.
Selain itu mengorbankan empat lembu bagi menjayakan dapur rakyat di Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 22/10/2017