PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama yang akan memperkenalkan kolej pendidikan wanita di negara ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun ianya masih di peringkat perbincangan di mana kini dalam langkah mempersiapkan kertas kerja untuk tindakan seterusnya.
Menurutnya, idea untuk menubuhkan kolej itu sudah lama dan beberapa kali perbincangan melibatkan beberapa pihak diadakan.
Jelas Amar lagi, beberapa perbincangan sudah dilakukan pihak kerajaan negeri bersama Yayasan Islam Kelantan (Yik).
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibubapa Guru Madrasah Tarbiah Mardhiah (MTM) Panchor kelmarin.
Amar mewakili Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob bagi merasmikan pembukaan bangunan sekolah itu.
“Pada dasarnya kita telah bersetuju dengan cadangan tersebut. Bagaimanapun ianya masih dalam perancangan, banyak lagi perkara yang perlu diketahui untuk melaksanakannya,”ujarnya.
Sambungnya, perkara paling utama adalah berkaitan kos penubuhan disamping kos yang ditawarkan.
Beliau memberitahu, ada pandangan yang mahu Maahad Muhammadi Perempuan sekarang dijadikan kolej wanita.
Beliau turut memberitahu, langkah itu dibuat sebagai mengambil idea beberapa buah negara luar yang telah mengadakan kolej khas untuk wanita sejak sekian lama.
“Kita dapat tahu juga di Korea ada 19 kolej melibatkan wanita dan kami juga tertarik dengan idea Princess Noura Universiti, Riyadh.
“Insya-Allah banyak manfaat akan kita ambil daripada pelaksanaan yang telah mereka lakukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, hasrat itu juga akan membantu kaum wanita memilih kos dan pembelajaran yang bersesuaian dengan minat serta kelayakan mereka.
Malah Kelantan juga katanya, mempunyai ramai wanita yang boleh ditonjolkan lagi kehebatan mereka dari segi pendidikan, kerjaya dan sebagainya.
Setakat ini pihaknya belum dapat membuat keputusan pelajar peringkat mana yang sesuai diambil untuk mengikuti kolej tersebut.
Tambahnya, sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). –HARAKAHDAILY 26/2/2018