Home Berita PAS Pusat

Sukuk Ijarah dan Agihan Lot Tanah Sebagai Penyelesaian Kediaman Rakyat

3165
SHARE

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus 18 Oktober 2017 | 27 Muharram 1439H

SUKUK IJARAH & AGIHAN LOT TANAH SEBAGAI PENYELESAIAN  KEDIAMAN RAKYAT

1. Walaupun pendapatan penengah isi rumah meningkat 6.6% kepada RM5,228.00, ia tetap belum sampai ke tahap mampu untuk membeli rumah pada harga purata RM387,258 yang dijual di negara ini pada tahun lalu.

2. Harga purata tersebut yang dikategorikan sebagai ‘amat tidak mampu milik’ itu hanya layak untuk dimiliki oleh isi rumah yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM10,757.00.

3. Bererti, adalah mustahil sekali bagi kumpulan isi rumah B40 dan M40 dengan hanya pendapatan purata RM2,848.00 dan RM6,502.00 masing-masing untuk memiliki rumah pada masa ini dan juga pada masa hadapan berdasarkan trend harga hartanah itu yang semakin meningkat saban tahun.

4. Secara unjurannya, bagi tempoh 2016 hingga 2020, negara ini memerlukan 653,000 buah rumah mampu milik (RMM) atau 130,000 buah RMM setahun bagi memenuhi permintaan. Namun, bekalan RMM pada masa ini secara puratanya hanya 60,000 buah sahaja setahun. Ia amat tidak cukup bagi menampung permintaan.

5. Meneliti dua (2) masalah ini iaitu (i) harga rumah yang mahal dan (ii) bekalan RMM yang rendah, penyelesaian sebenar yang harus diberikan fokus bagi menangani isu pemilikan rumah ini adalah pada isu mendapatkan pembiayaan bank itu sendiri bagi membolehkan para pembeli membuat (i) bayaran pendahuluan dan (ii) bayaran ansuran bulanan.

6. Bebanan bayaran pendahuluan ini dapat diselesaikan secara kaedah musyarakah dengan kerajaan mewujudkan suatu dana bagi memberikan pembiayaan kepada para pembeli untuk membuat bayaran pendahuluan perumahan dan pembiayaan oleh dana kerajaan ini dibayar semula selepas tempoh tertentu apabila pembeli telah menyelesaikan hutang dengan pihak bank.

7. Kaedah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembeli terbeban bagi mendapatkan wang untuk membayar pendahuluan, bahkan dapat menjadikan bayaran ansuran bulanan perumahan menjadi lebih rendah.

8. Bagi menyelesaikan masalah bayaran ansuran bulanan pula, ia boleh diselesaikan secara kaedah sukuk al-ijarah iaitu para pembeli memiliki rumah itu secara berperingkat mengikut kemampuannya melalui pembelian sukuk sehinggalah selesai mendapatkan 100% pemilikan rumah itu. Sementara itu, pemilikan terhadap rumah itu dikongsi secara bersama dengan pihak lain (seperti pelabur dan bank) dan dalam tempoh itu pembeli membayar sewa kepada pihak berkenaan pada kadar sewaan pasaran mengikut peratus pemilikan masing-masing.

9. Kaedah ini dapat meringankan beban bayaran ansuran bulanan oleh pembeli dan juga memberikan peluang kepada para pelabur dengan pelaburan berkos rendah. Manakala pihak bank pula mendapat manfaat pada aspek risiko pinjaman yang rendah.

10. PAS melalui Lajnah Ekonomi dengan ini menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan pihak-pihak berkenaan yang terlibat dalam isu ini terutamanya BNM dan REHDA untuk berkongsi penyelesaian secara Islam bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negara ini di bawah Program Mampu Miliki Rumah yang terkandung dalam Dokumen Hijau.

11. Namun, penyelesaian jangka panjang bagi isu perumahan ini ialah melalui pembukaan kampung-kampung baru yang disediakan prasananya termasuk akses jalanraya oleh kerajaan dengan agihan lot kediaman kepada rakyat. Ia perlu dilaksanakan sebagai program bersama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Sejahtera Bersama Islam”

YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat