YUSUF AZMI: IKON ANAK MUDA YANG BANGKIT
Oleh:
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tak sangka pula dalam himpunan Fastaqim 2.0 yang baru saja melabuhkan tirainya di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, Allah mempertemukan saya dengan saudara Yusuf Azmi. Namanya disebut oleh rakyat mutakhir ini kerana usahanya untuk membela nasib dan hak pengguna-pengguna Islam (mungkin bukan Islam pun ada juga).
Saya sempat juga mengikuti beberapa siri ‘live’ lawatan yang dilakukan oleh beliau dan rakan-rakannya dalam PPIM. Tidak keterlaluan untuk dianggap beliau sebagai salah seorang ikon anak muda kerana usaha suci dan mulia ini. Tahniah diucapkan!
Di saat ini kesempitan hidup menjalar dalam masyarakat sehingga perkara-perkara asasi kehidupan dipertaruhkan. Muamalah riba menjadi darah daging dalam setiap hutang piutang. Hutang pokok dilambak menjadi berlipat kali ganda demi untuk mengenyangkan pemilik-pemilik modal.
Perkara-perkara asas dalam kehidupan seperti rumah kediaman dan kenderaan tidak boleh dimiliki melainkan dengan hutang. Rumah kediaman yang berharga ratusan ribu ringgit, berapa kerat sangat rakyat yang mampu memilikinya? Apa yang ada ialah rumah mampu lihat.
Masalah kronik ini menyebabkan masyarakat tidak boleh lari daripada hutang melainkan terpaksa terjerumus ke dalamnya demi untuk menyelamatkan keadaan.
Apa yang menarik saya untuk kongsikan bukan sahaja mengenai nasib ramai yang dizalimi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu perlu diberikan pembelaan. Bahkan lebih besar daripada itu lagi ialah punca kepada segala permasalahan ini iaitu sistem yang mengharuskan ia berjalan dan menular dalam masyarakat hendaklah diubah.
Sistem yang diamalkan pada hari ini jelas sistem yang zalim dan menindas golongan yang lemah. Saya teringat sepotong hadis Nabi SAW yang mafhumnya; Antara tanda-tanda akhir zaman ialah dunia dipenuhi dengan kezaliman. Kezaliman di sisi Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.
Inilah wajah sistem diamalkan dalam kehidupan manusia pada hari ini yang tidak diletakkan kena pada tempatnya. Semuanya yang ada mencanggahi kehidupan manusia fitrah sebenar untuk memberikan kebaikan dan menolak keburukan daripada terkena ke atas mereka.
Sistem yang diamalkan hanyalah untuk memenuhi kepentingan hawa nafsu semata-mata. Sistem politiknya tidak ada perkiraan dosa dan pahala. Sistem perundangannya tidak boleh membendung jenayah. Sistem ekonominya yang bertunjangkan riba, penipuan dan gharar.
Semuanya semata-mata untuk mencapai matlamat keuntungan tanpa mengira aspek rohani dan kebajikan, lalu menjadi darah daging dalam masyarakat. Keperluan-keperluan asas manusia seperti nafkah keluarga, kenderaan, rumah kediaman dan lain-lain lagi dijadikan alat untuk mengaut keuntungan.
Natijahnya, golongan kaya terus kaya adapun golongan mustadhafin pula digula-gulakan. Sistem ‘hitam’ ini menjadikan manusia bertuhankan kebendaan sehingga matlamat menghalalkan cara.
Perjuangan PAS semenjak ia ditubuhkan ialah untuk merubah sistem ini kepada sistem Islam yang boleh menyelesaikan masalah. Hakikat ini disematkan dalam Perlembagaan PAS dengan jelas; memperjuangkan bagi tertegaknya hukum-hakam Islam dalam masyarakat dan mempertahankan Islam sebagai ugama negara.
Apabila sistem Islam dilaksanakan bukan bermakna semua manusia akan jadi suci seperti malaikat, maka tidak ada lagi penjahat. Perompak, pencuri, perogol dan lain-lain tetap akan ada, tetapi ia adalah sistem yang dijamin boleh mengawal manusia untuk berada di atas landasan manusiawinya.
Ketika sistem Islam diamalkan di zaman Nabi SAW dahulu juga ada pencuri dan penzina, kerana naluri untuk melakukan kejahatan tidak boleh dibuang. Akan tetapi ia berjaya mengawal kehidupan manusia. Sepanjang 40 tahun sistem perundangan Islam dijalankan oleh Nabi SAW dan khulafa ar-rasyidin, tersangat sedikit jenayah yang dihukum ke atas pesalah-pesalah sehingga boleh dibilang dengan jari.
Ini berbeza jika dibandingkan ribuan kes-kes jenayah yang berlaku selama 60 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bahkan, sistem Islam tidak memaksa bukan Islam untuk menerimanya, mereka diberikan pilihan sama ada untuk menerima atau menolaknya.
Di atas noktah inilah wujudnya persamaan antara PAS dan Yusuf Azmi. Walaupun beliau tidak mengisytiharkan dirinya menjadi ahli PAS, tetapi rohnya mahu melihat satu perubahan berlaku dalam negara kita kepada satu sistem yang tidak menzalimi orang-orang yang lemah. Ke arah matlamat itu kami menuju walaupun berbeza cara dan pendekatan.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
12 Muharram 1439 | 3 Oktober 2017