KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
15 Julai 2017 | 21 Syawal 1438
“TINDAKAN ISRAEL HARAMKAN SOLAT JUMAAT MASJID AL-AQSA DIKECAM”
1. Kebiadaban rejim Israel mengharamkan warga Palestin daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk melaksanakan solat Jumaat semalam (14 Julai) merupakan tindakan melampau dan provokasi ke arah mewujudkan ketegangan baharu di bumi yang dijajah sejak tahun 1948 itu.
2. Langkah agresif itu mengulangi tragedi melampau ektremis Yahudi yang pernah bertindak membakar sebahagian Masjid al-Aqsa dalam tahun 1969 hingga ditutup seketika yang kemudiannya mengundang reaksi kebangkitan kaum Muslimin di negara itu khususnya dan dunia amnya.
3. Perbuatan tersebut berisiko meletuskan pertempuran ekoran tercabarnya maruah dan kesabaran umat Islam apabila Israel berterusan menceroboh kesucian qiblat pertama dan masjid ketiga terpenting bagi umat Islam itu. Kami khuatir sentimen berbangkit bakal meletuskan tragedi lebih besar yang membawa peperangan.
4. Sehubungan itu, kami menggesa OIC dan Ketua-ketua Negara umat Islam untuk segera mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan tindakan tegas ke atas rejim Zionis Israel rentetan insiden tersebut. Masjid al-Aqsa mesti dibebaskan segera dan maruahnya dikembalikan secara aman dan damai.
5. Malaysia juga dituntut menzahirkan tanggungjawab dan keprihatinan dengan segera mengangkat usul tergempar melalui Sidang Parlimen bagi mengutuk kebiadaban, keangkuhan dan penindasan berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel ini agar ia dapat dihentikan.
6. Kami turut menyeru seluruh umat Islam bangun bersolidariti bersama warga Palestin bagi meningkatkan usaha pembebasan Masjid al-Aqsa menuju kemerdekaan hakiki Palestin. Kami berharap agar munajat memohon doa kesejahteraan dan keselamatan Palestin dapat dilaksanakan seluruh umat Islam.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia