Home Berita PAS Kedah

Rakyat Sungai Petani ‘serbu’ Rumah Terbuka PAS Kawasan

608
SHARE

 

Oleh: ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 1 MEI – Lebih 5,000 pengunjung ‘menyerbu’ majlis Rumah Terbuka AidilFitri anjuran PAS Kawasan Sungai Petani yang diadakan di Dewan MPSPK, Tikam Batu.

Program dimulakan jam 11 pagi dengan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Yahaya Haji Ismail, Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Sungai Petani.

Yang DiPertua PAS Kawasan Sungai Petani, Ustaz Sharir Long dalam ucapan aluannya menghargai kehadiran luar biasa pengunjung yang bertali arus serta komitmen ahli PAS di peringkat cawangan dengan sumbangan wang tunai dan penyediaan pelbagai menu.

“Tahun ni kita raya tiga kali iaitu bulan April Raya Aidilfitri, hujung bulan Jun pula AidilAdha dan raya paling besar ialah Pilihanraya Kecil Negeri Kedah yang dijangka hujung Julai atau awal Ogos,” ujarnya dalam nada seloroh.

“InsyaAllah saya lihat dimana-mana pun program anjuran PAS dan Perikatan Nasional termasuk rumah terbuka ini mendapat sambutan luar kebiasaan daripada rakyat menandakan keyakinan mereka untuk kita meneruskan lagi pentadbiran negeri Kedah.”

“Terima kasih kepada AJK dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan kita bercadang untuk mengadakan lagi majlis sebegini pada raya AidilAdha nanti untuk mendekatkan lagi hubungan PAS dengan rakyat.” tambahnya.

Beliau kemudiannya melancarkan kempen Dana Jihadku untuk PRN dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi pilihanraya negeri Kedah tidak lama lagi

Pelbagai menu disediakan sebagai juadah para pengunjung antaranya laksa, bihun sup, rojak buah, aiskrim, kueteow goreng, mee kari, cendol ayam goreng, apam lenggang serta sate ayam dan daging. Turut mendapat sambutan ialah pelbagai jenis minuman yang disediakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Turut diraikan ialah mantan Exco negeri Kedah yang pernah menerajui kepimpinan PAS Kawasan Sungai Petani iaitu Haji Abdullah Jusoh dan Dato’ Haji Mohd Muslim Othman.

Tetamu yang turut hadir antaranya ialah Exco Kerajaan negeri Kedah, YB Dato’ Azman Nasruddin, YB Dr Robert Ling, Setiausaha PAS Kedah, YB Senator Musoddak Ahmad, Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Sheikh Rodi dan Setiausahanya Ustaz Yusof Ahmad, Haji Bukhori, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, wakil parti BERSATU dan Gerakan negeri Kedah, Che Had Dhali, Pengerusi BDB dan Haji Mohamad Sobri Osman, CEO Menteri Besar Kedah Incorporated serta Adun Kuala Ketil, YB Mejar (B)Mansur Zakaria.

Majlis yang dijangka berakhir pada jam 3.00 petang terpaksa ditamatkan lebih awal kerana kesemua juadah telah kehabisan.