Tujuh isu utama berkaitan pendidikan khususnya di Baling telah saya bahaskan di Peringkat Jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan di Parlimen siang tadi.
1- Isu bebanan tugas guru
Banyak tugasan perlu dibawa pulang ke rumah dalam keadaan para guru begitu letih setelah seharian bertugas di sekolah.
Keadaan ini telah menjejaskan produktiviti para guru di sekolah maka saya mohon masalah ini diberikan perhatian segera.
2- Nasib pelajar dan guru di lebih 30 buah sekolah agama di Baling
Dalam kawasan Parlimen ini mempunyai lebih 30 buah sekolah terdiri daripada sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok-pondok.
Semua sekolah ini menjadi pilihan dan tumpuan masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke situ.
Sekolah-sekolah ini perlu diberi perhatian oleh kementerian terutama sekali bagi membantu guru-guru dan para pelajar yang rata-ratanya daripada keluarga miskin di luar bandar.
3- Capaian internet lemah
COVID-19 memberikan inpak besar kepada pendidikan Malaysia apabila ramai pelajar ketinggalan dalam aspek tiga M (membaca, mengira dan menulis) di mana semasa COVID-19 sedang melanda negara, para pelajar belajar dari rumah secara maya.
Tetapi ramai pelajar dari kawasan Baling tidak mempunyai kemudahan internet dan komputer riba.
Oleh kerana itu, pelajar dihinggapi penyakit malas belajar. Ramai pelajar tidak ke sekolah apabila sekolah dibuka atau datang lewat dan balik awal dan lebih parah daripada itu ramai pelajar kita bersikap negatif dengan merokok dan sebagainya.
Apakah kementerian mempunyai perancangan untuk memulih semangat para pelajar yang malas ke sekolah?
4- Perkasa dan promosi Bahasa Melayu ke peringkat tertinggi
Bahasa Melayu adalah bahasa agung yang mempunyai nilai identiti tersendiri. Peruntukan tahun lalu dan sekarang tidak berubah. Pihak kementerian perlu menilai untuk memartabatkan Bahasa Melayu ke martabat antarabangsa.
Terjemahan buku-buku dari luar perlu diperbanyakkan melalui institusi terjemahan dan buku Malaysia. Begitu juga dengan menterjemahkan kitab-kitab jawi thurath ke dalam bahasa-bahasa lain.
Usaha ini boleh mempromosi khazanah, budaya dan agama Islam ke seluruh dunia. Rugi jika kita tidak mempromosi buku-buku khazanah Melayu Islam ke seluruh dunia.
5- Infrastruktur sekolah agama rakyat maahad tahfiz dan pondok-pondok di Baling yang dhaif.
Baling mempunyai lebih 30 buah sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok-pondok. Malangnya terdapat dalam kalangan sekolah-sekolah ini keadaan tidak begitu baik dan tidak selesa.
Jadi saya harap kementerian beri perhatian dan penekanan untuk kemudahan asas bagi sekolah-sekolah yang telah melahirkan ramai ilmuan dan pemimpin besar.
6- Tambahkan peruntukan untuk semua sekolah di Baling
Kerajaan diharap dapat memperbanyakkan peruntukan untuk sekolah-sekolah di Baling yang kebanyakan dhaif dan memerlukan bantuan.
7- Beri kelonggaran kepada wakil rakyat pembangkang membantu sekolah
Saya pohon daripada kementerian untuk memberikan kelonggaran kepada YB atau Ahli Parlimen untuk menyertai aktiviti di sekolah supaya segala permasalahan yang diadukan dapat kami bantu.
Ahli Parlimen Baling.
Ustaz Hassan Saad