Oleh: NOR FATIN
Ramadhan akan berkunjung tidak lama lagi. Hanya berbaki 1 hari sahaja lagi. Ramai yang mengambil kesempatan ini untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan pelbagai cara.
Sebagai contoh ada yang mengadakan ceramah, memberi sumbangan makanan, dan kenduri menyambut Ramadan.
Begitulah juga beberapa kawasan di Kedah ini. Antaranya Kampung Jernang yang mengadakan kenduri bagi menyambut Ramadan. Menurut YB Brigediar Jeneral (B) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad dalam facebooknya, pada awalnya kenduri tesebut hanya ingin dibuat secara kecil-kecilan, tetapi bertukar menjadi seperti kenduri menyambut raja sehari pulak! Tetamu yang hadir difahamkan kira-kira seramai 2000 tetamu!
Manakala sebanyak 100 orang di DUN Kuala Ketil menerima sumbangan daripada YB Mej Mansor Zakaria di Dewan PUTIK Kuala Ketil. Dalam masa yang sama ceramah menyambut Ramadan turut disampaikan oleh Ustaz Nasrun Othman, Ketua Pemuda PAS Kedah yang baru sahaja dilantik pada Sabtu lepas.
Tidak ketinggalan juga dengan PAS Kawasan Jerlun turut mengadakan ceramah menyambut Ramadan dengan menjemput YB Hanif Ghazali sebagai penceramah.
Sebagai penutup, ingin dikongsikan satu cara untuk menyambut Ramadan. Cara ini telah dikongsikan oleh YB Ustaz Salim Mahmood menerusi facebooknya saat memuat naik gambar beliau ketika beceramah di MTD Sentua Baru, Arau. Beliau menasihati kepada kita semua untuk menyambut Ramadan dengan sebaiknya kerana Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa. Cara menyambutnya adalah dengan menunggu masuk waktu maghrib di masjid. Sementara waktu maghrib menjelang, berniatlah iktikaf, membaca alquran dan berzikir.
Jadi, selamat menjalankan ibadah puasa dengan sebaiknya kerana banyak kelebihan yang ada padanya. Salah satunya yang disebutkan:
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas jelas menyatakan orang yang berpuasa di bulan Ramadan dengan ikhlas serta mengharapkan keredhaan Allah SWT akan diampunkan, namun ada yang menghuraikan bahawa dosa yang diampunkan tersebut adalah dosa-dosa kecil.