KOTA BHARU, 2 Feb: Pihak kerajaan negeri sentiasa menghargai setiap sumbangan rakyat negeri ini yang telah berjasa mengharumkan nama negeri dalam setiap bidang yang diceburi.
Demikian kenyataan Exco Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pasukan Liga Tunas Malaysia (MiLL) Negeri Kelantan di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, semalam.
Majlis anjuran Jabatan Belia Sukan Negeri Kelantan (JBSN) itu diadakan sebagai penghargaan kepada pasukan Liga Tunas Malaysia Negeri Kelantan bawah 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Sabak dan 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim Dua (SID) yang berjaya mara ke peringkat kebangsaan pada Disember 2022.
Pasukan bawah 12 tahun telah berjaya mendapat tempat kedua manakala pasukan bawah 16 tahun berjaya mendapat tempat ketiga.
Katanya, majlis seumpama itu perlu diadakan sebagai motivasi dan keraian kepada semua pemain liga tunas yang telah berjasa mengharumkan nama negeri Kelantan.
Dalam majlis tersebut, YB Ustaz Wan Roslan turut menyampaikan sijil dan cenderahati kepada para pemain.
Turut hadir, Pengarah JBSN, Asmadi Mohamad.