KOTA BHARU, 24 Jan: Exco Dakwah Negeri Kelantan, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan umat Islam di Kelantan dan di seluruh Malaysia bahkan dunia bahawa Ramadan bakal tiba.
Beliau menyeru umat Islam mempersiap diri menuju Ramadan Al Mubarak dan menyifatkan Rejab ibarat penggera ke arah persiapan tersebut.
Katanya, malam bertukar siang, hari berganti bulan, pejam celik kita sudah pun memasuki bulan Rejab. Ini bermakna kurang lebih dua bulan, umat Islam akan menyambut tetamu agung iaitu Ramadan yang saban tahun dinanti dengan penuh kegembiraan dan pengharapan.
“Antara doa yang tidak lekang di bibir Nabi SAW dan diajarkan kepada kita ialah “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (berkatilah) kami pada bulan Ramadan,” pesannya sempena kehadiran 1 Rejab 1444H, semalam.