KOTA BHARU, 17 Jan: Sebelum rasminya sepak mula saingan Liga Super Malaysia 2023, pihak pengurusan Kelantan United Football Club (KUFC) mengatur beberapa perlawanan persahabatan pra musim dengan pasukan-pasukan bola sepak dari dalam dan luar negara.
Presidennya, YB Rozi Muhammad berkata, antara persiapan awal yang diatur ialah pertemuan KUFC melawan pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu, 21 Januari pukul 9.00 malam.
“Selain Terengganu FC, perlawanan dengan kelab-kelab lain juga telah diatur di sekitar Lembah Klang dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kehadiran lima pemain import diyakini mampu melonjakkan kemampuan KUFC.
“Morgaro Gomis dari Senegal salah seorang daripada pemain import yang diyakini bakal memberi saingan sengit kepada pasukan lawan dalam Liga Super musim ini,” jelasnya.
Beliau menyeru semua penyokong dan peminat bola sepak hadir beramai-ramai ke Stadium Kota Bharu pada 21 Januari sebagai bukti sokongan padu terhadap KUFC. Sekali gus, mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.