Home Berita PAS Kelantan

Empati nasib mangsa banjir, TM turun padang agih sumbangan

92
SHARE

RANTAU PANJANG, 6 Jan: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Memahami situasi kesusahan masyarakat luar bandar pasca bencana alam, Telekom Malaysia Berhad (TM) Johor berkerjasama dengan TM Kelantan turun padang mengagihkan kotak makanan, peralatan elektrik, pakaian, kelengkapan solat dan alat kebersihan diri berjumlah RM600 bagi setiap satu keluarga kepada mangsa banjir di Rantau Panjang dan di Pasir Puteh.

Pengurus Besar TM Johor Md Naziruddin Ab Moez berkata, pihaknya turut merasai penderitaan yang dialami mangsa banjir dalam kalangan golongan yang kurang berkemampuan.
“Memang rutin tanggungjawab sosial TM berbakti kepada masyarakat. Empati membuak-buak membawa kami turun ke Kelantan untuk melihat sendiri dan menyelami perasaan rakyat di negeri yang ditimpa musibah dua kali dalam tahun 2022,” katanya.

Sumbangan keperluan asas itu berupa makanan, kelengkapan kebersihan dan peralatan elektrik diagih kepada mangsa banjir yang terpilih; 12 orang di Kampung Gaal dan Bandar Pasir Puteh serta 20 penerima di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang.

Menurutnya, Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) itu melibatkan beberapa kelab kebajikan TM seperti Kelab TM Kelantan, Kelab TM Johor, Badan Kebajikan Islam Kelantan dan Johor, Tiaranita Kelantan dan Johor.

“TM berharap sumbangan purata keseluruhan bernilai RM20 ribu ini dapat meringankan beban mangsa banjir yang dipilih dalam kalangan warga emas dan ibu tunggal yang kehilangan harta benda, ” jelasnya ketika ditemui di program Inisiatif Jalinan Kasih TM Johor-Kelantan di Kampung Gual Tok Gual Tok Deh, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Kelantan Rozainee Muhamad pula memaklumkan pihaknya memperuntukkan RM6000 agihan zakat tunai TM RM200 setiap seorang mengiringi sumbangan TM Johor sebagai tanda bersolidariti dengan mangsa banjir tersebut.

Salah seorang penerima ialah Hanisah Awang, 62, dari Kampung Gual Tok Deh meluahkan keterharuannya atas keprihatinan pihak pengurusan tertinggi TM Johor dan Kelantan yang sanggup menghantar sendiri sumbangan ke tangga rumahnya.

“Terima kasih banyak-banyak TM Johor dan TM Kelantan kerana bersimpati dengan nasib saya. Memang pendapatan kami terjejas teruk. Suami saya tidak dapat menoreh getah seperti biasa sepanjang musim bah,” luahnya.