Home Berita PAS Kelantan

Trucha Ketua Jurulatih baharu KUFC

61
SHARE

KOTA BHARU, 3 Jan: Bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2023, jurulatih dari Republic Czech, Tomas Trucha, 51, dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan bola sepak Kelantan United Football Club (KUFC) yang baharu, Ahad lalu.

Presiden KUFC YB Rozi Muhammad berkata Trucha yang memiliki tahap tertinggi lesen kejurulatihan Eropah, UEFA PRO itu pernah mengendalikan Penang FC bermula musim 2021 sehingga kelab itu menduduki tempat ketiga Liga Super Malaysia.

“Kita yakin dengan pengalaman Trucha menjadi jurulatih bersama beberapa kelab utama di Republic Czech, Bostwana dan Kenya dapat membantu skuad Sang Kijang Hijau KUFC memberi cabaran sengit kepada kelab-kelab lain pada musim ini,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, YB Rozi menjelaskan pelantikan itu berdasarkan pencapaian tertinggi Trucha ketika menjadi pembantu pelatih antara kelab terbaik di Republik Czech iaitu Victoria Plzen sehingga muncul naib juara liga selain bermain di Liga Eropah 2016/17.

Kemudian, Trucha mengetuai kelab bola sepak di Afrika seperti Orapa United FC dan Township Rollers di Bostwana serta AFC Leopards di Liga Kenya.

“Insya Allah Trucha dapat membina skuad terbaik sebelum sepak mula pada pertengahan Februari nanti,” katanya.