KOTA BHARU, 1 Jan: Pelbagai peristiwa yang berlalu sepanjang tahun 2022 menjadi suatu renungan dan teladan buat kita untuk melalui tahun baharu 2023.
“Penganjuran sambutan tahun baharu dengan tema ‘Untukmu Kelantan’ ini adalah bagus dan sangat berfaedah khususnya kepada para belia untuk membentuk insan rabbani. Golongan muda perlu diberi tarbiyah dan ada akidah yang kukuh sebagai benteng dan perisai untuk tidak mudah terpengaruh dengan cabaran masa kini seperti fahaman liberalisme, pluralisme dan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual).”
Demikian ucapan Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika berucap di Malam Untukmu Kelantan sempena sambutan Tahun Baharu 2023 yang berlangsung di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad ke IV, semalam.
Selain itu, katanya semua pihak termasuk urus setia, badan dan NGO yang berkaitan dengan belia dan pembangunan insan perlu memainkan peranan penting berusaha mengadakan program dan aktiviti untuk memenuhi kehendak anak muda ke arah generasi yang rabbani dan berilmu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Belia dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, sambutan tahun baharu kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya kerana ekoran daripada musibah banjir yang melanda negeri ini.
“Semoga majlis sambutan yang diisi dengan munajat perdana ini mendapat keberkatan dan dilimpahi rahmat daripada Allah SWT di samping diperkenankan olehNYA untuk kita semua dilindungi daripada segala musibah dan bencana untuk tahun yang mendatang,” katanya.
Majlis anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) negeri Kelantan itu turut diserikan dengan persembahan qasidah dari kumpulan Raudhatul Jannah Tumpat dan slot Bual Bicara Kelantan Sejahtera yang menampilkan tokoh anak muda iaitu Ahli Parlimen Bachok, YB Mohd Syahir Sulaiman dan Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Fadhli Shaari serta Ikon Selebriti Kelantan, Sabri Yunus.
Slot tersebut turut mengganding Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Kamaruzaman Mohamad selaku moderator.