TUMPAT, 22 Dis: Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi memaklumkan pihaknya mengambil langkah proaktif sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua yang lebih besar dengan melaksanakan penghantaran bekalan bantuan yang melibatkan dua fasa dalam masa dua hari.
Beliau yang juga Exco Kebajikan negeri berkata bekalan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penduduk di sembilan buah pulau di Tumpat membabitkan 230 keluarga.
“Rakyat di pulau akan menerima kesan besar terputus bahan bekalan jika laluan air sudah tidak boleh dilalui. Oleh itu kita ambil langkah bersiap sedia dari awal,” katanya selepas membuat pelepasan pasukan misi tersebut di Pengkalan Kok Majid, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan akan mengepalai rombongan mengagihkan bantuan tersebut.
Berhubung perkara yang sama, beliau turut menasihati penduduk di pulau supaya selalu ikuti perkembangan semasa info banjir dan hendaklah mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.