KOTA BHARU, 21 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas keprihatinan yang dizahirkan melalui sumbangan Rm500,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dalam satu kenyataan semalam berkata kerajaan negeri itu turut menawarkan bantuan pasukan sukarelawan SERVE & PANTAS khususnya bagi membantu mangsa banjir.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor khususnya kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari atas sumbangan RM500,000 sebagai bantuan musibah banjir.
Semoga berkat keprihatinan dan sumbangan pelbagai pihak dapat memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir terutama pemulihan pasca banjir,” tulisnya.
Sementara itu, sehingga jam 8 malam semalam jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 31,311 orang, membabitkan 8,987 keluarga dan ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tanah Merah dan Tumpat.