KOTA BHARU, 21 Dis: Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuji kecemerlangan tugasan yang dilaksanakan oleh semua pihak yang telah sama-sama berganding bahu dalam menghadapi situasi banjir kali ini.
Penghargaan tersebut diiringi ucapan terima kasih dituju khusus kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan pihak SK Kubang Kerian 2.
“Tahniah dan terima kasih saya juga kepada masyarakat yang telah memberi sumbangan dan bantuan dalam apa bentuk sekali pun,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2, semalam.
Beliau turut mendoakan semoga semua rakyat Malaysia khususnya di Kelantan dan kawasan dilanda banjir diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan berharap keadaan banjir segera pulih.
Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, YB Ustaz Abd Rahman Yunus, kakitangan Pusat Khidmat Parlimen (PKP) Kubang Kerian dan DUN Pasir Tumboh serta para penghulu.