KOTA BHARU, 19 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO Negeri Kelantan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak tercicir dari aspek pembangunan sukan.
“Sekalung tahniah dan penghargaan buat kontinjen PARA SUKMA yang telah berjaya memperolehi 10 pingat emas dalam kejohanan PARA SUKMA XX 2022 di Kuala Lumpur yang lalu. Ianya satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan harus dicontohi oleh golongan OKU diluar sana.”
Demikian ucapan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Inspire OKU Aktif Peringkat Negeri Kelantan pada 17 Disember lalu di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JBSN Kelantan, Hazri Nizam Zakaria berkata karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 16 hingga 17 Disember itu bertujuan menjadi platform untuk OKU melibatkan diri dalam aktiviti sukan untuk semua dan disertai oleh kumpulan penggiat sukan amatur.
Menurutnya, karnival anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Negeri Kelantan itu juga adalah untuk mengenalpasti bakat sukan yang boleh diketengahkan untuk dilatih menjadi atlet OKU yang mampu cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya Pertandingan Shoot Out Bola Jaring, Pertandingan Ping Pong Wheel Chair, Pertandingan Badminton OKU serta Pertandingan Blind Penalty di samping terdapat juga pameran-pameran agensi, gerai-gerai jualan makanan dan produk usahawan tempatan.