KOTA BHARU, 18 Dis: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru rakyat Kelantan memperbanyakkan berdoa ke hadrat Allah SWT agar dijauhkan diri, keluarga dan negeri ini daripada bencana diluar jangka.
Catatan beliau menerusi media sosial hari ini, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, yang berasal dari Semerak, Pasir Puteh Kelantan.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (KL-Karak),
Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Ustaz Dato’ Ahmad mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mendapat keampunan.
Beliau juga berharap usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang masih hilang dipermudahkan oleh Allah SWT.
Sementara itu, Timbalannya, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah pula berkongsi catatan laporan kajian cuaca berkaitan luruan monsun sekali lagi akan memasuki Kelantan bermula semalam walaupun laporan sehari sebelumnya menunjukkan banyak lokasi bercuaca cerah.
Beliau mengingatkan hujan lebat dijangka berterusan hingga Selasa di samping angin kencang dan ombak besar yang berpotensi meningkatkan risiko banjir.
“Selain sekretariat bencana, kita juga harus sama-sama berhati-hati dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku di kawasan masing-masing,” pesannya.
Beliau seterusnya menyeru seluruh rakyat memperbanyakkan doa dan memohon kebaikan daripada Allah SWT.
“Semoga kita semua dilindungi daripada sebarang keburukan,” tulisnya.