BACHOK, 14 Dis: “Pelancaran Program ‘Go Digital’ di Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat sangat relevan dan bersesuaian kerana pasar tersebut antara pasar yang paling rancak menjalankan aktiviti perniagaan di daerah ini. Dalam perkembangan era ekonomi digital, Inisiatif yang dibuat oleh kerajaan negeri melalui Kelantan ICT Gateway dengan penglibatan Bank Negara Malaysia, agensi kerajaan, pengendali telco, platform e-dagang, pihak bank, dan usahawan adalah sangat bagus dalam meningkatkan dayasaing usahawan dan IKS tempatan di samping dapat memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini, khususnya di Bachok.”
Demikian menurut Ahli Parlimen Bachok, YB Mohd Syahir Che Sulaiman di Majlis Pelancaran Jelajah Go Digital MPUK Bachok, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Lee Chiang Fatt, 59, yang berniaga alat permainan kanak-kanak lebih 40 tahun di Pasar Jelawat menyambut baik program tersebut.
Menurutnya, program tersebut sangat bagus dan dapat memudahkan urusan jual beli melalui transaksi digital.
“Selepas pandemik, kebanyakan pelanggan saya terutamanya golongan muda dan perantau yang pulang bercuti ke kampung lebih selesa menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai, jadi saya sediakan kepada mereka kaedah pembayaran secara atas talian sahaja. Jadi, dengan adanya program sebegini, dapat memberi maklumat kepada peniaga untuk menggunakan kaedah yang lebih mudah dengan aplikasi pembayaran atas talian melalui platform Touch&Go, Boost, Kelantan Pay dan banyak lagi,” katanya Ketika ditemui selepas majlis pelancaran program tersebut.