KOTA BHARU, 13 Dis: Khazanah pusaka warisan makanan tradisional terus diperkasa melalui program Kulinari Desa anjuran Urus Setia Pembangunan Wanita dan Keluarga (U-KeKWa) dengan Kerjasama Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK).
Menurut Exco Pembangunan Wanita negeri, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi program tersebut dibahagi kepada dua slot iaitu Dapur Mok yang melibatkan golongan veteran. Manakala Rencah Rasa Mek Kelate pula menampilkan beliawanis sebagai tukang masak.
“Menerusi Dapur Mok, kita berhasrat untuk meningkatkan penglibatan dan peranan wanita dalam kemahiran masakan. Seterusnya, mengkomersialkan resipi tradisional Negeri Kelantan ke peringkat yang lebih tinggi dengan memprofilkan identiti masakan mengikut tradisi setempat. Di samping menjana pembangunan ekonomi negeri dalam keusahawanan, masakan dan kulinari secara terlatih,” jelasnya.
Berkenaan Rencah Rasa Mek Kelate pula, beliau memaklumkan objektif program tersebut ialah untuk menambah kecintaan anak muda terhadap masakan tradisi masyarakat Kelantan.
“Beliawanis berpeluang mempelajari bidang kulinari dengan menguasi kaedah yang betul dalam pengendalian makanan. Sekali gus, dapat meningkatkan pendapatan golongan sasar dengan menceburi bidang kulinari sebagai pendapatan utama atau sampingan.
Sehubungan itu, Exco Warisan negeri, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berterima kasih kepada U-KeKWa atas penganjurkan program Kulinari Desa di 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berfasa untuk mencapai sasaran ke akar umbi.
“Inisiatif agensi Kerajaan Negeri yang saling membantu memperkasakan budaya warisan Kelantan amatlah dihargai. Hal sebegini mampu menambah nilai khazanah kekayaan negeri kerana semua pihak saling memainkan peranan masing-masing untuk satu matlamat iaitu memartabatkan harta peninggalan leluhur Melayu-Kelantan yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pergilah ke mana negeri di seluruh Malaysia bahkan ke festival makanan dunia, pasti berjumpa kuih dan masakan tradisional Kelantan. Juadah kita memang digemari ramai dan antara pilihan makanan yang menepati cita rasa rakyat Malaysia bahkan pelancong luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, program Kulinari Desa itu wajar mendapat kredit tertinggi kerana inisiatif itu mampu memartabatkan makanan tradisional Kelantan pada kelasnya tersendiri.
Membuktikan sokongan padu, pihaknya menerbitkan video juadah Tapai untuk mempromosi secara lebih meluas masakan tradisional Kelantan dari aspek falsasah tersirat yang belum diketahui umum.