KOTA BHARU, 8 Dis: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) meraih wang tunai RM20 ribu setelah dinobatkan menjuarai Pertandingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik 2022.
Anugerah PBT Terbaik adalah anugerah utama yang dipertandingkan sempena sambutan Hari Kelantanku Bersih pada tahun ini. Pemenang dinilai daripada semua aspek termasuklah kebersihan persekitaran pejabat, kebersihan kawasan pentadbiran PBT, pengurusan organisasi dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Yang DiPertua MPKB-BRI Rosnazli Amin bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur iaitu Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kelantan yang portfolionya yang dipengerusikan YB Dato’ Dr Izani Husin atas pengiktirafan yang memotivasikan semua staf MPKB-BRI untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan.
Menurutnya, penganjuran pertandingan yang amat berprestij ini dapat menggalakkan PBT untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat.
“Pemerhatian utama dalam penjurian difokuskan kepada aspek-aspek keindahan dan keceriaan terutama di luar dan dalam kawasan pejabat. Penilaian pertandingan merangkumi kebersihan persekitaran, kemudahan infrastruktur, keceriaan pejabat dan kepuasan perkhidmatan. Oleh itu, saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua staf MPKB-BRI yang berkerjasama dalam mencapai kejayaan ini,” ujarnya.
Kemenangan MPKB-BRI semakin bergaya apabila turut menerima dua anugerah Naib Johan bagi kategori Zon Bersih, Indah Dan Ceria Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik dan kategori Tandas Awam Pihak Berkuasa Tempatan Terbersih (Tandas Awam Pantai Cahaya Bulan).
Rosnazli diringi Setiausaha, MPKB-BRI, Mohd Shaifudeen Md Salleh menerima replika cek kejuaraan daripada Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di Hotel Perdana, hari ini.