KOTA BHARU, 30 Nov: Exco Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman memaklumkan projek menaik taraf Kolam Air Panas Tok Bok, Machang telah disiapkan sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan diserahkan kepada Majlis Daerah Machang pada 30 Mei lalu.
Menurutnya, kini usaha memajukan projek tersebut sedang giat dilaksanakan.
Antaranya ialah menaiktaraf kemudahan infrastruktur di kolam air panas tersebut melalui peruntukan RM486,177.50 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Seterusnya ialah kerja-kerja pengoperasian sebanyak RM94,402 yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan menaik taraf kemudahan landskap dengan peruntukan RM173,941 di bawah Majlis Daerah Machang. Selain itu, kerja-kerja penambahbaikan kolam dengan kos RM87,000 dan kerja-kerja menambun tanah bagi laluan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kos RM100,000 telah diperuntukkan di bawah Majlis,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, pada 27 November lalu.
Menurutnya lagi, terdapat juga beberapa cadangan untuk pembangunan di kolam air panas tersebut seperti pembinaan splash (RM500,000), membina dan menyiapkan homestay (RM500,000) dan Dewan Serbaguna (RM500,000) serta Campsite (RM150,000).