KOTA BHARU, 29 Nov: Dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di Kelantan, Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk merangsang pasaran buruh agar pengangguran di negeri ini dapat dikurangkan.
Menurut EXCO Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Hanifa Ahmad, berdasarkan Statistik Insurans Pekerja (SIP), dalam tempoh Januari hingga 13 Oktober 2022, PERKESO Negeri Kelantan telah berjaya melaksanakan 53 temuduga mingguan dan 34 temuduga khas kepada golongan sasar seperti OKU, wanita, belia, graduan dan bekas penagih.
Tambahnya lagi, temuduga atas talian serta satu Karnival Kerjaya Peringkat Negeri juga telah dapat dilaksanakan. Program tersebut dapat membantu meningkatkan ruang mencari kerja dan secara tidak langsung turut membantu majikan dalam memenuhi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
Berhubung perkara yang sama, beliau berkata pejabat PERKESO Negeri Kelantan juga sedang aktif melaksanakan libat urus dengan kerjasama strategik bersama agensi awam dan swasta bagi memastikan informasi berkenaan PERKESO dan inisiatif di bawah Jaminan Kerja Insentif Penggajian (JKIP) dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Antaranya mengadakan program pimpinan bersama masyarakat serantau, sesi libat urus dengan beberapa agensi seperti Kolej Komuniti, UMK, UITM, Kolej Politech Mara, Politeknik Kota Bharu dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan agensi Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) dari semasa ke semasa juga menganjurkan pelbagai program kemahiran bagi meningkatkan daya saing penganggur di dalam mendapatkan pekerjaan.
“Selain itu, latihan usahawan turut diadakan oleh kedua-dua agensi bagi menggalakkan golongan penganggur menceburi bidang perniagaan sebagai alternatif kepada pekerjaan,” katanya ketika menjawab persoalan yang diutarakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan berkenaan langkah yang diambil untuk mengurangkan kadar pengangguran, di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
“Di samping itu, beberapa projek besar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri seperti Kilang Simen di Chiku Gua Musang, Projek IBS Machang, kawasan Industri Tok Bali dan lain-lain projek berimpak tinggi yang bakal berlangsung diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan,” katanya.