KOTA BHARU, 27 Nov: Pada tahun 2021 Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan RM15 ribu kepada setiap agensi yang terbabit dengan pelan Tindakan Strategik Menangani Gejala Sosial dan Maksiat Negeri Kelantan 2020-2023.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, YB Rozi Muhamad pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Kelima Dewan Negeri Kelantan Ke-14, hari ini.
Katanya, antara agensi tersebut ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menjalankan program santuni komuniti, program keluarga, edaran risalah dan ‘walking message’ serta bual bicara ad-Din.
“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan melaksanakan program pendidikan dan rawatan bagi ketagihan vape, ketum dan arak. Manakala Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah. Yayasan Islam Kelantan melaksanakan beberapa program seperti program remaja disayangi, ‘the dark side of social media’ dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, Bahagian Dakwah Halaqat melakukan beberapa sesi program seperti bengkel solat, cabaran mendepani isu-isu semasa kekeluargaan dan program bicara kekeluargaan.
“Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan ‘town hall discussion’ berkaitan isu menangani gejala sosial mengikut pengkhususan jenayah, penyalahgunaan dadah dan jenayah siber.
Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) telah menjalankan beberapa program seperti kursus psychological first aid, wanita anti jenayah, kursus pembimbing komuniti dan lain-lain,” katanya.
Katanya lagi, Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) melaksanakan beberapa program seperti Bengkel Strategik Gentera, Townhall Belia, Kongres Remaja Kelantan dan lain-lain.
“Agenda kerajaan negeri ini disambut baik oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak masjid, persatuan-persatuan dan pihak universiti melalui kepakaran masing-masing. Pada tahun 2022 melalui Cakna Rakyat kerajaan negeri memperuntukkan RM35 ribu kepada setiap DUN secara one-off dengan seliaan Unit Pembangunan Insan,” katanya.
Berhubung perkara yang sama katanya, melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk golongan remaja seperti Program Membina Remaja Iman (MRI), Program Membina Generasi Al-Quran (MGQ) dan Program Street Dakwah.
Manakala Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah yang melaksanakan rondaan, program pencegahan dan melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) yang menekankan peningkatan jatidiri individu, keluarga, masyarakat muslim.