KOTA BHARU, 23 Oktober: Usaha Urus setia Belia, Sukan dan NGO (U-Bes) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) membuahkan hasil apabila kerja-kerja akhir persiapan perasmian Akedemik Abdul Rahman Al Aufi di tingkat 3 Bazar Tok Guru kini giat dijalankan.
Akademi Al Aufi merupakan satu inisiatif kerajaan bagi mewujudkan pusat kursus berkemahiran serta latihan yang membabitkan penglibatan golongan belia. Antaranya adalah seperti kursus gunting rambut, kursus kulinari, urutan, berbekam dan sebagainya.
Justeru, sebanyak 20 lot kedai di tingkat tiga Bazar Tok Guru telah diubah suai dan dijadikan tempat bagi menganjurkan kursus kemahiran tersebut.
Melalui Akademi ini juga beberapa lot kedai perniagaan yang diusahakan oleh anak muda yang menjalani kursus di bawah U- Bes turut disediakan, seperti butik pakaian dan busana anak muda, kedai kopi dan juga salon.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat dalam sidang media lepas katanya,sehingga kini kerajaan negeri melalui U-Bes telah menganjurkan pelbagai kursus, bengkel dan juga seminar kemahiran untuk menggalakkan golongan belia menceburi sektor keusahawanan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk.