KOTA BHARU, 20 Oktober: Mantan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa komuniti India dan Cina yang tinggal di Kelantan tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan dan diberi layanan istimewa yang sama rata dengan masyarakat Melayu.
“Di Kelantan ini, kita ada ramai penghulu dari bangsa Melayu, tapi tidak ketinggalan kita melantik juga penghulu wakil kaum India, Cina lelaki dan perempuan, malah kita juga lantik ahli majlis wakil kaum dan pegawai-pegwai duduk dalam kerajaan untuk memudahkan urusan. Semua ini telah menunjukkan kerajaan kita yang ada hari ini sungguh bersikap terbuka, dengan menganggap semua bangsa Melayu, Cina dan India seperti adik beradik, itulah hebatnya orang Kelantan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Parlimen Kota Bharu, di Dewan Dato’ Nachiappan hari ini.
Mengambil semangat Keluarga Malaysia “everyone is equal before the law” (semua orang adalah sama dari segi undang-undang) beliau berkata, jika kita buat salah, kita akan dikenakan hukuman, dan jika kita rajin kita akan dapat manfaat, jadi inilah nikmat hidup yang besar berada di Malaysia khususnya di negeri Kelantan yang secara jelasnya tidak membezakan kaum.
“Kita duduk di Kelantan bertuah dengan kepelbagaian budaya yang indah, contohnya makan roti canai buh (letak) gula, hari-hari makan nasi berlauk, tossei capatti , dan semangat perniagaan yang dikongsi bersama pun ada,” tambahnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 62 orang keluarga masyarakat India telah menerima sumbangan bakul prihatin sempena sambutan Deepavali pada Isnin depan. Penerima juga menerima sumbangan sebagai wang perbelanjaan untuk membeli barangan keperluan sebagai persediaan menyambut perayaan tersebut.