KOTA BHARU, 20 Oktober: Kemajuan terkini bahagian kejuruteraan bagi projek naik taraf dan pelebaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa sudah mencapai 60 peratus sehingga tempoh 8 Oktober 2022.
Secara keseluruhan, status semasa projek tersebut sudah siap 13.78 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor mengesahkan peratusan tersebut ketika dihubungi hari ini. Tambahnya, kemajuan kerja untuk perkara lain seperti kerja-kerja awal ialah 47.86 peratus dan pembinaan pula 8.01 peratus.
Sehubungan itu, beliau berpuas hati dengan pencapaian kemajuan semasa dan berharap projek bernilai RM440 juta itu berjalan lancar.
“Projek LTSIP adalah salah satu daripada projek mega berimpak tinggi yang bakal melonjakkan kemajuan di Kelantan. Kita harap projek ini dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2024 sebagaimana dijadualkan,” jelasnya.