RANTAU PANJANG, 16 Oktober: Program hiburan patuh syariah Pentas Rakyat (PR) anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) ternyata disukai pelbagai golongan masyarakat.
Jumaat 14 Oktober telah berlangsung PR siri ke-7 di Dataran Letak Kereta Bandar Rantau Panjang yang dihadiri lebih seribu penonton. Salah seorangnya, Mohammad Farhisham Rashid, 20, dari Kampung Gual Sitok menyatakan beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memahami jiwa anak muda sepertinya yang menyukai hiburan.
“Naluri manusia terutama anak muda memang tidak dapat dipisahkan daripada berhibur. Saya rasa sangat bertuah dapat jumpa artis kegemaran apabila UPKN anjurkan Pentas Rakyat di kawasan berdekatan rumah. Ibu bapa saya tidak menghalang saya datang kerana mereka tahu program itu terkawal dan pemimpin pun ada di situ,” jelasnya.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua penduduk Rantau Panjang yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili suara mereka di parlimen.
“Alhamdulillah selama dua tahun ambo (saya) diberi amanah menjadi timbalan menteri, banyak pembangunan di Rantau Panjang telah kita bawa contohnya projek tebatan banjir Sungai Golok dan menaik taraf lebih 300 jalan dalam parlimen Rantau Panjang. Banyak lagi jalan yang kita senaraikan untuk dibaiki dan dinaik taraf. Apabila saja peruntukan lulus, kita akan terus laksanakan mengikut fasa. Terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta semua agensi yang terlibat. Sedaya upaya kita berusaha untuk memberi dan memenuhi keperluan masyarakat di Rantau Panjang,” katanya.
Pentas Rakyat siri ke-7 menampilkan selebriti tersohor Kelantan seperti Joe Renjuna, Pok Yie Gasi, Fadhil Turbo dan Ezri Layang Puteh serta kumpulan dikir barat Sirat Maharaja, tidak terkecuali pelakon terkenal Kamarol Haji Yusoff (Cik Man) dan Hazwan.
Turut menghiburkan hadirin, penyanyi baharu Kumpulan Iklim, Azmani yang berasal dari Pasir Mas bersama Shaq Mentor, anak jati Bachok.
Hadir sama memeriahkan program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk YB Dato’ Mohamad Awang dan Pemangku Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad.